BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Rabu, 15 Jun 2011

Oh Indahnya Pelangi ...

Petang itu hujan lebat menyimbah bumi Shah Alam, Selangor, salah sebuah negeri yang terletak  di selatan tanah air semenanjung Malaysia.
Kedudukan yang strategik ini menjadikan Selangor negeri yang paling pesat, dek kerana jumlah penduduk yang ramai dan pembangunan yang tumbuh bak cendawan selepas hujan setiap tahun.
Tidak hairanlah negeri ini agak panas berbanding negeri-negeri lain, kerana terjadinya pulau haba bandar.
Sudah hampir setahun aku di negeri ini, menjadi penuntut di UiTM Shah Alam dalam program asasi kejuruteraan.
Cuaca sejuk semasa hujan ini sememangnya dinikmati sebaiknya  oleh semua penuntut.
Ada yang sudah menarik selimut, bersedia untuk memejamkan mata, ada yang meneruskan 'study' namun tidak kurang pula yang mengambil kesempatan untuk duduk seorang diri sambil merenung ke arah hujan, memikirkan rahmat di sebalik hujan itu dan penciptanya.
Subhanallah, sesungguhnya setiap yang diturunkan oleh Allah ada rahmat dan kebaikan di sebaliknya.
Guruh yang berdentum dan kilat sabung-menyabung benar-benar menggangu konsentrasiku untuk belajar. Aku lantas menutup tingkap dan menurunkan langsir, bimbang sesuatu yang buruk berlaku.
Aku kemudian duduk kembali di meja studyku dan beristighfar panjang, moga-moga  hatiku ini tidak terlintas untuk memarahi Allah kerana menjadikan guruh dan kilat.
Terus aku teringat akan kata-kata Heliza dalam filem Syurga Cinta...
"Kadang-kadang Allah turunkan hujan, ditambah dengan guruh, siap dengan kilat lagi... kita tertanya-tanya Kemana perginya matahari? Rupanya Allah mahu memberikan kita pelangi yang indah."
Aku tersenyum sendirian,  kerana ungkapan inilah yang menjadikan aku disini hari ini.
Aku punya kisah di sebalik kata-kata itu. Mungkin bagi orang lain, ungkapan ini nampak biasa, tapi bagiku ia besar maknanya.
Ciptaan Allah yang begitu indah
Hingga hari ini, tidak ada seorang saintis pun yang mampu menyaingi pelangi ciptaan Allah.
Sesungguhnya, dari situ kita dapat lihat betapa Allah tuhan yang Agung dan Esa.
Segala memori lalu masih segar dalam ingatanku. Kisah bermula semasa di alam sekolah menengah lagi.
Dengan izin Allah, berbekalkan keputusan UPSR yang cemerlang, aku ditawarkan ke salah sebuah SMKA di negeri utara tanah air.
Pada mulanya aku agak terperanjat.
"Adoiii... sekolah agama lah pulak... Confirm tudung labuh ni... parah-parah... "Aku mengharapkan agar ditawarkan ke salah sebuah sekolah berasrama penuh, kerana kakak sulungku juga  bersekolah di sekolah berasrama penuh.
Ummi dan abahku bertanya sama ada aku mahu masuk sekolah itu atau sebaliknya. Lidahku kelu untuk bersuara. Nak diikutkan hati, tidak sangat tetapi kalau tak dapat tawaran lain, tak ke malu dengan kawan-kawan yang dah dapat masuk asrama.
Lantas aku menjawab "Macam ni lah ummi, abah... kak ngah nak tunggu sampai minggu depan... kalau tak dapat tawaran mana-mana jugak, kak ngah pergi sekolah tu. "
Ummi dan abahku tersenyum, dan aku pula serabut memikirkan apa yang bakal berlaku.
Benar seperti apa yang sering dikatakan, janji Allah tidak siapa yang bisa mengubahnya, walau sekuat mana kuasa sesorang itu.
Sudah ditetapkan oleh Allah sejak azali, aku ditempatkan di sekolah agama tersebut. Selama 5 tahun berada di sekolah itu, aku diajar dengan pelbagai ilmu pengetahuan baru.
Di sana, kami didedahkan dengan solat jemaah, usrah,  tazkirah, majlis-majlis ilmu dan pelbagai lagi aktiviti keagamaan.
Seperti salah satu ayat Al-Quran
"Ingatlah sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
Aku benar-benar terkesan dengan ayat ini.
Benar, aku sendiri akui aku bukanlah baik sangat  sebelum ini, cuma aku bersyukur kerana dibesarkan dalam keluarga yang amat mementingkan agama dalam kehidupan.
Justeru, mudah untuk aku terima semua yang berkaitan agama suci ini.
Semakin lama mempelajari semua ini, aku sendiri dapat  menyedari perubahan dalam diri.
Hatiku menjadi sangat lembut, mudah tersentuh dengan apa sahaja  dan yang paling aku syukuri hati ini juga yang kadang-kadang menangis memikirkan dosa-dosa lalu dalam solat-solat malamku.
Syukran Ya Allah... Syukran... terima kasih kerana menganugerahi aku hati ini dan semoga kau lindungi dan pelihara hati ini dari  terjerumus ke jalan-jalan yang tidak diredhai olehmu. Amin...
Langit tak selalunya cerah
Hidup tak selalunya indah, kerana hidup ini umpama roda. Ketika berada di atas, jangan terlalu bermegah kerana kita mungkin berada di bawah, dan ketika di bawah, percayalah suatu hari nanti kita boleh berada di atas.
Akan tetapi fitrah manusia biasa, mahukan yang baik dan indah belaka. Semakin kita mendekatkan diri kepada Allah, semakin banyak ujian dan dugaan yang datang, untuk menguji sejauh mana keimanan dan kebergantungan kita kepada Allah.
Kata orang, ujian itu sebenarnya tanda kecintaan Allah kepada kita.
Tahun 2009 adalah tahun yang amat penting bagiku dan juga rakan-rakan sebayaku. Tahun ini, kami akan menjalani satu peperiksaan yang bakal menentukan hidup kami, iaitu SPM.
Tahun ini juga menjadi titik-tolak pengislahan  sebenar kepada diriku. Dugaan pertama datang ketika keputusan peperiksaan percubaan SPM diumumkan.
Aku merasakan seperti ada yang tidak kena. Hatiku gundah gulana, resah memikirkan apakah keputusan peperiksaanku.
Biarpun hanya peperiksaan percubaan, ia amat penting kerana soalan-soalan merangkumi semua topik tingkatan 4 dan  tingkatan 5. Justeru, aku anggap ia seperti SPM sebenar.
Ketika keputusan dipaparkan, aku lihat dari jauh rakan-rakan ku  berebut-rebut mencari nama dan melihat keputusan.
Lantas sahabat baikku, Izzah Hanani mengajakku melihat keputusan.
"Eh Ira, hari ni result keluar kan. Jom kita pergi tengok nak. Izzah rasa dah ramai yang tau result diorang. Kita je belum tau. Jomla.."
Aku berhenti menulis dan memasukkan pen yang dari tadi rancak bergerak untuk menulis nota syariah islamiah di dalam 'pensel case' biru kesayanganku.
Kalau diikutkan hati, entah mengapa agak berat untuk aku pergi namun memikirkan sahabat baikku sejak tingkatan satu itu beriya-iya mengajak, aku gagahkan jua kaki ini.
Kami bersahabat sejak tingkatan satu. Ketika di tingkatan 3, Alhamdullillah kami berdua berjaya mendapat 9A dalam PMR dan diletakkan di kelas yang sama juga di tingkatan  empat.
Ketika dalam perjalanan melihat result, sahabatku bertanya;
"Kenapa ngan Ira hari ini, senyap je... selalu dia yang banyak mulut... time result plak selalu dia orang yang semangat... hari ni monyok je"
Aku tersenyum kelat. Tidak tahu apa yang perlu dikatakan. Sebetulnya fikiranku kosong.
"Entahlah Izzah, hati ni rase tak sedap je... takut dapat result teruk... hari tu jawab macam tak yakin jew... "
"Oh... itu sebabnya monyok je... takpelah Ira... Ira dah buat yang terbaik... dah usaha dan doa... sekarang tinggal tawakkal je... apa pun keputusan Ira, anggaplah ia yang terbaik dari Allah... kerana Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya... ingat tu..." lantas memeluk bahuku dari belakang.
Begitulah indahnya berukhwah, andai diikhlaskan kerana Allah. Pasti Allah menghadiahkan kita seseorang yang dapat membuat kita tersenyum ketika dalam kesedihan.
Ketika dalam perjalanan itu, kami berselisih dengan Ayu, rakan kami dari kelas 5 Al-Khawarizmi, yang juga roommateku. Nampak tersenyum-senyum bahagia je Ayu tu. Mesti result ok, fikirku.
"Ayu, dah tengok result ke?"Izzah memulakan bicara, sekadar menyapa kerana kami bukanlah rapat sangat.
"Dah... korang belum ke? aku dapat 8A... no dalam form no 7... saiful pun dapat 8A, no dalam form no 5... beza sikit je... yahoo!!sukanya aku... tu lah, sekarang terbukti kan... walaupun korang sibuk-sibuk nasihat kat kita orang yang couple-couple ni, result kita orang maintain tau... lepas ni kan ira, bolehla kau cakap kat kawan-kawan BADAR (Badan Dakwah Dan Rohani) ko tu... tak yah sibuk-sibuk nak nasihat dan cegah-cegah maksiat ni... buang masa... terbukti couple ni taklah salah seperti yang korang suka hebohkan tu... silap hari bulan, lepas ni ahli-ahli badani yang jadi 'hot couple' kat sini... haha..." Ayu ketawa besar lantas melangkah meninggalkan kami.
Aku tunduk dan beristighfar panjang atas tuduhan yang dilemparkan. Benar kata orang, rambut sama hitam, hati lain-lain. Meskipun bersekolah di sekolah yang ada tertulis A (SMKA), tidak semua penuntut akhlaknya "A".
Kerap kali dihidangkan dengan tazkirah dan perkongsian ilmu yang membincangkan azab Allah akan sesiapa yang melakukan larangannya, namun sebahagian dari kami masih tegar malah tanpa segan silu ber 'couple', berkirim surat dan lain-lain yang membawa kepada zina hati. Nauzubillah, semoga aku terlindung dari golongan itu.
Izzah yang menyedari perubahan air muka di wajahku terus memujuk.
"Alah... biarlah Ayu tu nak cakap apa... macam la Ira tak tahu mulut dia memang laser... sabar je... Allah sayang tau orang yang sabar... tak baik kalau Ira simpan dendam... nanti  ada titik hitam dalam hati... jom cepat kita pergi tengok... masa rehat tinggal 10 minit je lagi ni... kejap lagi time fizik... Teacher Haniza tu kang, kalau masuk lambat... tahu-tahu jela... silap-silap belajar kat luar kelas kita hari ini..."
Aku tersenyum mendengar kata-kata Afiqah.
Aku tersentak dan terus terduduk di atas kerusi batu yang diletakkan berhampiran dengan papan kenyataan peperiksaan itu. Apa? 5A je aku dapat? Astaghfirullah... biar betul ni... Ya Allah, hebatnya ujian kau kali ini... berilah aku kekuatan... Sesampainya kami di sana, kawan-kawanku masih ramai.
Dengan bersesak-sesak, aku berusaha mencari nama ku. Aku mencari namaku di helaian pertama di penjuru kanan, yang  memaparkan nama pelajar-pelajar dari no 1 hingga no 20... kira 'top20' dalam form lah... Hah! nama aku tak de? Biar betul ni, tak kan tercicir kot. Selalu nama aku dalam senarai top 10, paling tidak top 20.
Kenapa kali ni tak de? Dalam helaian itu, dapat aku lihat nama Izzah berada di tempat ke-3 dengan 10A... Oh, tahniah sahabatku... macam mana pulak ngan aku? Aku terus melihat ke helaian seterusnya di sebelah dan aku terkejut melihat namaku berada di atas sekali, bermakna aku dapat no 21 dalam form!!
Ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu perasaanku. Seolah-olah aku mahu menjerit sekuat hati. Mahu menangis dan meraung sepuasnya... Biar semua orang tahu betapa kecewanya aku dengan result itu.
Pada mulanya hanya beberapa titik air mataku gugur, namun ketika melihat Izzzah melangkah gembira ke arahku, mutiara jernih yang aku tahan-tahan sejak dari tadi turun lebat membasahi pipiku. Oh sahabatku, seandainya kau tahu perasaanku ketika ini...
"Ira, Izzah dah tengok result kita dua. Ira sabar ye, mungkin  bukan rezeki Ira kali ini... "ucap Izzah tenang
"tapi kenapa Ira, Izzah??... kenapa Ira... kenapa bukan orang lain, kenapa? Apa salah Ira? Apa dosa Ira? Cakap Izzah, cakap..."
"Ira, ingat Allah, tak baik Ira macam ni. Seolah-olah Ira tak redha dengan apa yang Allah bagi. Kan semua ni datang dari Allah, siapalah kita untuk mempertikaikannya. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Ira kena sabar dan kuat"
"Memang Ira tak redha, memang Ira marah, marah sangat-sangat, Izzah cakap senangla. Izzah dapat result ok, sesiapa yang dapat result  ok memang akan cakap macam tu!!!!!!"
Aku menjerit sekuat hati, melepaskan perasaan yang dari tadi terbuku. Aku tidak menghiraukan lagi rakan-rakan kami yang melihat aku menjerit. Pasti mereka terkejut, tidak pernah melihat aku dalam keadaan sebegitu.
Aku berlari pergi membawa diri sambil menangis, kemana harus aku membawa diri, aku sendiri pun tidak tahu, biarlah... biarlah apa orang nak kata... biarlah kaki ini yang menentukan arah langkahku...
Cuma dalam fikiranku, ada satu tempat yang terlintas. Tempat yang menjadi penenang hati buat setiap insan. Tempat yang menjadi rumah kedua selain asrama kepada pelajar di sini, untuk menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah.
Aku pasti, aku pasti akan ke situ, lantas mempercepatkan langkah sambil mengelap air mata yang masih lagi turun.
Izzah yang aku tinggalkan terpinga-pinga, melangkah longlai masuk ke dalam kelas. Bukan tidak mahu memujuk, tapi  melihat aku dalam keadaan begitu, dia lebih matang dalam membuat keputusan. Moga-moga kau dapat tenangkan diri sahabatku, doanya untukku.
"Ok kelas, saya mintak maaf. Hari ni saya tak dapat mengajar sebab ada mesyuarat dengan pengetua tentang rumusan peperiksaan percubaan kamu semua. Saya nak nanti Zulhilmi, pergi meja saya dan ambil 'worksheet'. Saya dah siapkan, ada 25 soalan semuanya merangkumi  topik-topik tingkatan lima. Dan saya nak, kerja tersebut mesti dihantar atas meja saya apabila masa saya tamat. Jelas kan arahan saya?"
"Bermakna kamu semua tak boleh keluar dari kelas dan mesti siapkan kerja yang diberi. Kalau boleh buat sendiri dan jangan tiru kawan, kerana dari situ kamu dapat tahu kelemahan kamu dimana. Kelas berikutnya saya akan bincang soalan-soalan yang tak dapat dijawab."
"Faham semua? saya tak nak lepas mesyuarat nanti saya dengar ada cikgu-cikgu yang komplen kelas 5 Al-Farabi bising. Kamu kelas yang terbaik, mesti tunjukkan peribadi yang elok juga, saya keluar dulu" tegas kata-kata yang dituturkan oleh cikgu fizik yang kami panggil Teacher Haniza itu.
Di sebalik ketegasannya itu, dia seorang yang yang sangat penyayang. Berkat ketegasannya juga, keputusan fizik kelas kami tidak pernah mengecewakan.
Di masjid, aku duduk menyandar di  dinding  sambil memeluk kaki. Meskipun sudah berhenti menangis, aku belum bersedia untuk ke kelas, di tambah pula dengan mata yang bengkak dan muka yang merah. Di  saat keseorangan sebegini, bermacam perkara bermain di fikiranku.
Aku pantas mengingat kembali peristiwa yang berlaku. Yang pasti, aku mendapat result yang teruk hari ini.
Ya Allah, besarnya ujian yang kau berikan hari ini. Apakah dosaku Ya Allah? Aku study, aku solat, aku doa, aku hormati guru  malah aku tidak pernah terlibat dengan couple-couple, serba- serbi aku jaga. Apa lagi yang tidak cukup? Aku bermonolog sendirian.
"Benar kau sudah study, doa, solat... tapi mungkin Allah belum kabulkan permintaan mu. Sabarlah.. dia akan makbulkan, cuma masanya belum tiba. Dia mahu kau terus berdoa dan meminta daripadanya. Sesungguhnya Allah rindu untuk  mendengar rintihan hambaNya. Dugaan ini untuk mendekatkan diri kau dengannnya" suara imanku berbicara.
"Ahh... lagi-lagi usaha, balik-balik doa, bosanlah kalau macam ni, kau dah buat semua tu, sepatutnya kau dapat ganjaran yang setimpal!.." syaitan mula membisikkan kata-kata hasutan
"Astaghfirullahalazim... tak baik kau marah sebegini, andai kau marah, pada siapa kau marah? pada Allah bukan? layakkah kita untuk memarahiNya, sedangkan Dia yang mencipta dan memberi nikmat kepada kita? Setiap yang datang itu dari Allah, sepatutnya kau bersyukur, bukan mengeluh sebegini. Masih ada kawan-kawan yang lain dapat result lagi teruk dari kau, tapi mereka sabar dan redha" Iman masih cuba memujuk.
"Alah... kau tu je yang kononnya baik sangat... solat jemaah, join usrah, hormat guru, tak nak couple-couple, bukan apa sangat pun... cuba kau lihat kawan-kawan kau yang lain, couple juga tapi result lagi gempak dari kau... kalau betul Allah sayangkan kau, Dia tak bagilah ujian macam ni, sedarlah sikit... "
"Jangan terpedaya dengan kata-kata syaitan itu. Kuatkan iman, ingat apa yang kau pelajari dan dengar dalam tazkirah-tazkirah . Ujian yang datang mungkin sebagai teguran  lembut dari Allah. Mungkin cara study salah, dan mungkin juga ada kesalahan-kesalahan kecil yang kau abaikan... Allah mahu kau muhasabah diri... Andai tak diberi ujian begini, kau tidak akan sedar, kau akan rasa kau selalunya betul sedangkan tidak... kerana kau hanya  insan biasa yang lemah, kau bukan seperti nabi yang maksum!!"
"Tapi Allah sendiri dan janji dengan firmannya.. berdoalah kepadaku, nescaya akan ku perkenankan  doamu... Hah, Allah sendiri dah janji tapi tak bagi pun. Allah dah memungkiri janji kepada kau!! Allah tak adil! buat apa lagi kau ikut perintahnya, Dia tak pedulikan kau lah..."syaitan belum mahu mengalah.
"MasyaAllah, sekali lagi jangan kau marah pada tuhan, mengucap... beristighfar... Yaa... Allah memang sudah berfirman akan memperkenankan doamu... namun kau harus ingat, Allah juga ada 99 sifat mulia. Dia tuhan Yang Maha Mengetahui dan Yang Memberi  Rezeki.. Kaji  pula firman Allah dalam surah Al-baqarah ayat 284-286. Antara firmannya:-
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala( dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa(dari kejahatan) yang dikerjakannya..."
Allah mengetahui yang kau boleh memikulnya... Yakinlah, jangan kau berputus asa.. Ini baru dugaan yang kecil...
Lupakah engkau, semasa zaman rasulAllah dahulu, lebih hebat ujian yang ditempuh oleh nabi kita dan sahabat-sahabat... kemiskinan, kematian keluarga, sahabat di medan perang... tapi mereka tidak kecewa, tidak resah... malah redha dengan ketentuan Allah, hingga sebahagian dari mereka telah pun dijanjikan masuk syurga... "
Aku tersentak ketika mendengar suara seseorang yang cukup aku kenali memberi  salam.
"Assalamualaikum... Izzah dah agak Ira kat sini" katanya lembut sambil menyusun langkah kearahku.
"Waalaikumsalam... Teacher tak masuk kelas ke?" soalan pertamaku kepada Afiqah...
"Tak, cikgu-cikgu ada mesyuarat, tapi teacher ada tinggalkan kerja dan mesti dihantar hari ni... jomla kita balik kelas, nanti Ira tak sempat nak siapkan kerja tu. Ira ok kan? Izzah yakin kawan baik Izzah ni kuat orangnya."
"Entahlah Izzah... kadang-kadang  Ira rasa Allah tak sayang kat Ira... Dia tak bagi apa yang Ira nak... Buat apa Ira study lagi, study bagai nak pecah kepala, tengok-tengok result dapat 5A je..." Entah kenapa, kata-kata itu lancar sahaja keluar dari mulutku.
"Ira, sekali lagi Izzah cakap... Ira kena redha, memang susah untuk capai redha ni, tapi usahalah kearah itu. Mungkin hari ni rezeki Izzah, esok lusa siapa tahu rezeki Ira pulak... bumi Allah ni luas Ira, rezeki ada di mana-mana... Yakinlah dengan janji Allah, ingat prinsip hidup kita."
"Put our trust to allah and remember.. allah always be our side."
Serentak kami menyebut pegangan  hidup  kami bersama. Kata-kata inilah yang banyak menjadi pendorong kejayaan aku dan Izzah hingga hari ini.
"Hah... macam tulah orang yang kuat... kuat melawan tipu daya syaitan... kuat juga melawan hawa nafsunya... bukan sekadar kuat fizikal, tapi yang lebih penting kuat untuk bangun setelah jatuh. Dah, jom cepat. "
"Hah... padan muka kau syaitan... hari ni seorang anak adam tak berjaya kau hasuti..." Aku berkata sendirian...
Aku menadah tangan tanda kesyukuran kepada Allah, menganugerahi aku seorang sahabat yang bukan sahaja cantik, bijak, malah membantu aku mencari semula cahaya disebalik kegelapan.
"Kalau Izzah tak datang tadi, mesti aku dah ikut cakap syaitan untuk terus 'stay' kat masjid dan ponteng kelas. Syukur Alhamdulillah... "
Malam itu seperti malam-malam rabu yang biasa, jadual aktiviti masjid adalah ceramah agama.
Dalam organisasi BADAR, aku dilantik menjadi  timbalan ketua biro lajnah masjid.
Semua yang berkaitan masjid dibawah tanggungjawabku seperti kebersihan, keceriaan, peralatan dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di masjid, termasuk ceramah.
Malam itu, aku berasa tidak sedap badan. Maklumlah, sudah seharian aku menangis. Namun, amanah harus dijalankan.
Dengan bantuan Izzah, aku memanggil Hafiza, AJK di bawahku untuk memberi pesanan.
"Hari ni akak tak berapa sihat la. Fiza 'handle' masjid ye. Panggil semua pelajar berkumpul dan rapat kehadapan... Pastikan mereka tidak bising semasa ceramah. Pesan pada mereka, sesiapa yang bising akak akan panggil untuk bagi kesimpulan dari ceramah ustaz masa perhimpunan ahad nanti. "
"Oh... itu kerja senang je... selalu nampak akak je handle, teringin jugak berada depan semua pelajar... Hehe... Akak jangan risau, Fiza akan buat dengan baik"
"Terima kasih" ucapku ringkas.
Ceramah dari Ustaz Zukilan, salah seorang ustaz yang mengajar subjek  Pendidikan Al-Quran dan Sunnah di sekolahku merupakan antara ceramah yang digemari oleh kami pelajar-pelajar kerana cara penyampaiannya yang menarik dan bersahaja.
Sebelum menunggu ustaz datang, aku menoleh ke arah belakang, meninjau keadaan pelajar puteri. Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan baik dan terurus.
Hampir separuh dari mereka memegang pen dan kertas, bersedia untuk mencatat isi-isi penting dari ceramah ustaz. Pastinya mereka tidak mahu dipanggil untuk memberi  ulasan. Aku tersenyum.
Nampaknya Fiza menjalankan tanggungjawab yang aku berikan  dengan baik.
"Assalamualaikum anak-anak sekalian..."Ustaz Zukilan memulakan bicara.
"Waalaikumsalam ustaz..." kami ramai-ramai menjawab salam yang diberikan, kerana semua orang tahu menjawab salam itu wajib hukumnya.
"Alhamdulillah, dengan limpah dan kurnianya kita dapat bertemu seperti malam-malam rabu yang lepas. Hari ni ustaz nak membincangkan tajuk yang ustaz rasa, sangat menarik. Tajuknya adalah 'Qada' dan Qadar dari Allah, sejauh manakah kita beriman dengannya?"
Aku begitu terkejut dengan tajuk yang dibincangkan malam ini lantas terus menoleh dan memegang tangan Izzah. Sebolehnya aku mahu keluar sahaja dari masjid. Dia yang memahami keadaan diriku, mengeratkan genggaman dan mengusap-usap belakang tubuhku.
Mengapa mesti tajuk ini? Seolah-olah ada kaitannya dengan apa yang berlaku dalam hidupku hari ini.
"Hah... ustaz pasti setiap orang pasti diuji oleh Allah kan... Cuma bentuk ujian yang diterima oleh setiap insan  itu tidak sama. Dan masa seseorang menerima ujian itu juga tidak sama. Kita mugkin lebih dari segi ini, tetapi kurang pula pada bahagian lain. Kalau kita kekurangan dalam sesuatu, jangan rasa lemah, kerana Allah telah menjadikan kita dengan sebaik-baik penciptaan. Pastinya kita boleh memperbaiki diri untuk menjadi orang yang berjaya... InsyaAllah... Ketika kita ditimpa ujian, jangan kita mengeluh kerana ujian itu boleh bertukar menjadi rahmat seandainya kita redha menerimanya."
"Ustaz bagi satu contoh, katakanlah kamu 'plan' nak keluar dengan kawan-kawan masa cuti penggal nanti... Kira plan yang habis-habisan la... nak shopping, tengok wayang, main bowling dan macam-macam lagi la... Last-last masa hari yang dijanjikan tu kamu tak dapat pergi sebab hujan lebat... kamu mesti rasa sedih, frust, kecewa dan marah. Kiranya ini ujian untuk kamu la... tapi, sebenarnya kamu tak sedar di sebalik hujan itu ada rahmatnya."
"Mungkin seandainya Allah tak turunkan hujan, kamu akan pergi dan memandu dalam keadaan laju. Akibatnya terlibat dengan kemalangan. Nah... itulah rahmatnya, Allah sayangkan kamu dan mahu memanjangkan nyawa kamu... tidakkah kamu sedar?"
"Namun kondisi kita hari ini jauh berbeza dengan konsep islam yang sebenarnya. Setiap ujian yang datang, manusia akan mula menyalahkan orang lain. Kadang-kadang yang lebih dahsyat menyalahkan Allah."
Ingat firman Allah yang berbunyi, "Mungkin sesuatu yang kamu rasa baik bagimu adalah buruk di sisi Allah dan sesuatu  yang buruk bagimu adalah baik di sisi Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui."
Oleh itu, kita kena anggap ujian yang Allah bagi pada diri kita ni sebab dia sayang dekat kita. Dia nak hambanya tak terpesong jauh, kembali mengingati diriNya.
Sepatutnya kita seronok bila dapat ujian, tandanya Allah masih ingat dekat kita walaupun kita dah banyak buat dosa. "terang Ustaz Zukilan panjang lebar.
Kata-kata ustaz membuatkan aku berfikir kembali dan timbul rasa penyesalan. "Tak sepatutnya aku marah atas apa yang berlaku... aku kena redha dan muhasahabah diri... Ya Allah... aku bertaubat kepadamu... ampunkan dosa hambaMu ini... "
Selasai ceramah ustaz, kami solat isya' berjemaah. Itulah uniknya bersekolah di sekolah yang mementingkan aspek agama dalam kehidupan seharian.
Di sebelah pagi, kami berusaha bersunguh-sungguh mencari ilmu duniawi, sebelah malamnya mula diisi dengan pelbagai aktiviti kerohanian untuk memperoleh  ilmu akhirat.
Barulah stabil kedua-duanya, selain membantu pelajar-pelajar di sini mencapai kejayaan yang sebenar dalam hidup. Malam itu aku solat sunat taubat. Memohon bersungguh-sungguh kepada Allah agar diampunkan dosa, kerana siang tadi aku mengeluarkan kata-kata yang boleh membawa syirik kepada Allah.
Itulah hebatnya godaan syaitan, andai iman tidak kuat untuk melawannya, entah kemana diri ini dibawa ke jalan yang sesat.
Dua bulan berlalu, aku tinggalkan kesedihan atas keputusan peperiksaan percubaanku dan bangun menjadi insan yang lebih kuat. Aku gandakan usaha dan doa, moga Allah permudahkan segala urusan.
Hari ini hari bersejarah dalam hidup aku dan rakan-rakan. Persiapan sudah rapi, senjata sudah diangkat, tunggu masa untuk digunakan. Kami melangkah masuk menuju medan perang yang sebenar, iaitu Dewan Saidina Ali.
Dewan yang menjadi tempat untuk kami berjuang, juga dewan yang menjadi saksi atas kejayaan cemerlang pelajar-pelajar ketika keputusan diumumkan. Kami menjawab dengan sehabis baik, berbekalkan ilmu yang diperoleh selama 5 tahun.
Kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang belajar 5 tahun disini, biarlah pulang membawa berita gembira. InsyaAllah.
Selasai peperiksaan selama 2 minggu, kami pulang ke rumah masing-masing. Sebelum berpisah, kami mengadakan salam ukhwah yang begitu sinonim disini. Kami berpelukan, memohon maaf dan berterima kasih sesama sendiri.
Selama 5 tahun tinggal di bawah satu bumbung, pastinya banyak kenangan pahit dan manis yang tidak akan kami lupakan. Aku dan Izzah sempat bertukar hadiah, memandangkan dia akan berpindah ke Rawang atas urusan kerja ayahnya.
Aku menangis, tidak sanggup berpisah dengan sahabat yang sudah aku anggap seperti ahli keluarga sendiri. Dalam suasana begitu, Izzah sempat membuat lawak dengan mengatakan dia berpindah di dalam Malaysia sahaja, bukan ke luar negara.
Masa berlalu begitu pantas. Cuti 3 bulan selepas peperiksaan SPM sudah tamat. Tibalah masa yang dinanti-nantikan, iaitu keputusan peperiksaan SPM.
Pagi itu, aku bersiap untuk ke sekolah. Jantung di dada berdegup kencang, sehinggakan malam sebelumnya aku sukar melelapkan mata. Izzah sudah ada di salah sebuah rumah kawan kami. Jika dia bertolak dari Rawang pagi itu, mungkin dia tak sempat untuk berjumpa dengan aku dan kawan-kawan yang lain.
Aku menutup perlahan pintu kereta setelah sampai. Debaran di dada masih terasa.
"Ummi, kak ngah nak baliklah. Takut lah ummi"
"Lah, kan dah sampai ni. Tak nak tengok result pulak. Apapun yang terjadi, ingat itu yang terbaik dari Allah. Cepatla, nanti tak sempat jumpa kawan-kawan. "
"Macam mana kalau result tak ok?Ummi marah kak ngah tak?"
"Ya Allah budak sorang ni. Banyak sangat tanya. Ummi tak marah, kak ngah dah usaha dan doa. Result tu tetap kena ambil, walau jauh mana kak ngah nak lari sekalipun. Jom ummi temankan masuk dewan"
Di dewan, aku dapat lihat pelbagai reaksi. Ada sahabat-sahabat ku yang ketawa gembira, ada yang sedang menelefon dan ada juga yang sedang berpelukan dengan ibu bapa mereka sambil menangis. Menangis? Gembira atu duka? "Alamak, macam mana pulak dengan aku nih."
Dari jauh, aku lihat guru kelasku, Puan Azliza melambai tangan kearahku. Aku menyusun langkah kearah beliau. Sesampainya di sana, aku dipersilakan duduk.
"Cikgu, result saya ok tak?" aku tak dapat lagi membendung rasa ingin tahu.
"Agak-agak kamu macam mana?" itu jawapannya. Aduh cikgu ni, main teka-teki pulak. Aku dah la nak terkencing ni, jantung pulak rasa nak tercabut.
"Kalau saya, apapun result saya, saya terima dengan redha. "jawabku ringkas, sekadar menghilangkan perasaan gemuruh.
Guruku tergelak kecil, lantas meletakkan sebuah fail dihapanku.
"Bukalah, result kamu ada dalam fail tu. "
Aku memandang guruku dan kemudian menoleh kearah ummi disebelahku. Ummi tersenyum dan mengangguk perlahan.
"Bismillahirrahmanirrahim... . dengan tangan kanan, aku membuka perlahan fail merah itu. Serentak itu juga, guruku berkata;
"Tahniah, kamu dapat 7A. Walaupun tak dapat straight A, itu dah cukup bagus dan cikgu bangga dengan pencapaian kamu. Untuk pengetahuan, kamu juga antara pelajar cemerlang sekolah.
Saat itu, tak dapat aku gambarkan perasaan ini. Ummi terus memelukku lantas mengucapkan tahniah. Aku pula tidak henti-henti mengucapkan syukur dalam hati. Alhamdulillah Ya Allah, terima kasih atas nikmatmu hari ini.
Selesai bersalaman dengan guru kelasku, aku pergi mencari rakan-rakan ku. Guruku juga memberitahu bahawa Izzah memperoleh straight A, 12A. Tahniah sahabatku.
Di suatu sudut, aku nampak Izzah dan rakan-rakanlain. Kami berpelukan, mengucapkan tahniah sesama sendiri.
Kami berbual seketika, menunggu rakan-rakan yang lain sambil bercerita arah tujuan selepas ini. Masing-masing dengan pilihan mereka. Ada yang nak sambung form 6, ada yang nak apply maktab dan tidak kurang juga yang mahu terus dalam bidang sains.
Dalam perjalanan pulang, hujan lebat turun. Hujan rahmat, fikirku. Tanganku pula tidak henti-henti membalas SMS yang dikirimkan rakan-rakan dan juga menjawab panggilan dari saudara-mara.
Meraka juga ingin berkongsi kegembiraan yang aku peroleh. Seperti selalu, selepas habis hujan, aku akan menuggu pelangi  muncul. Aku bertuah hari itu, aku berpeluang melihat pelangi. Pelangi yang begitu indah. Subhanallah. Hari ini juga aku dapat pelangi yang baik, iaitu keputusan exam SPM.
Benar lah disebalik ujian, ada hikmahnya. Di sebalik hujan, ada pelanginya. Aku suka kau pelangi!
Aku tersedar ketika telefon bimbitku berbunyi mengalunkan lagu SegenggamTabah dari kumpulan UNIC.
"Eh, bukan nombor Malaysia ni... Izzah Hanani!!!" Hanya itu yang terlintas difikiranku... Sudah lama dia tidak menelefon, kerana itu aku tidak 'save'kan nombornya. Selama ini, kami hanya berhubungan di Facebook atau YM.
Selepas keputusan SPM diumumkan, dia ditawarkan melanjutkan pelajaran ke negara timur tengah  dalam bidang kejuruteraan. Selepas membuat persediaan selam 3 bulan di INTEC Shah Alam, dia berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar...
Pada hari pemergiannya ke sana, aku tidak dapat menghantar ke KLIA kerana terikat dengan peperiksaan, cuma dia sempat menelefon beberapa jam sebelum pergi.
Katanya "Ingat, pelangi itu indah, ia pasti akan muncul, lebih indah jika kita sabar menunggunya." Kerana Indahnya Pelangi..

Untukmu Mira..

Mira anak bongsu dari dua orang adik beradik. Dia merupakan seorang anak kepada penyapu sampah yang sudah tua dimamah usia. Ibunya kini sering sakit-sakit kerana terlalu kuat bekerja untuk memperbaiki taraf hidup merka sekeluarga. Ayah mereka yang selama ini mencari nafkah buat mereka sekeluarga telah meninggal dunia kerana terlibat dengan suatu kemalangan ketika baru balik memotong getah.
Kehidupan mereka bertambah daif. Hidup mereka ibarat "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang". Suatu hari Mira pulang dari sekolah dan terus menuju ke dapur lalu membuka tudung saji di atas meja. Alangkah marahnya Mira apabila melihat tiada satu pun makanan di atas meja. lalu ibunya yang tua menjadi sasaran kemarahannya.
"Ibu, kenapa Ibu tak masak lagi? Kan sudah tahu Mira kan balik sekolah tengahari. Sudahlah bagi wang saku pun tak cukup untuk Mira beli nasi di sekolah. Ibu! Mira dah tak larat hidup macam ni! Ibu di rumah tahu tidur saja.".
Begitulah kata-kata Mira kepada Ibunya yang kebetulan pada hari itu tertidur di atas sofa lusuh di ruang tamu.
Mira tidak tahu bahawa ibunya mengalami demam yang panas kerana tidak cukup rehat dek kerana mencari nafkah buat mereka sekeluarga. Mira hanya mementingkan dirinya sahaja. Ibunya diam mendengar leteran puteri kesayangannya itu. Tidak lahir satu pun rasa marah kepada Mira pada waktu itu. Padanya, memang salah dirinya kerana gagal untuk memasak juadah untuk anaknya yang baru pulang dari sekolah.
Ibunya teringat pesan arwah suaminya supaya menjaga anak-anak mereka dengan baik.
"Mira, lapar ya sayang? sebentar ibu masakkan ya."
Lantas, ibu pun bangun untuk segera menyediakan juadah untuk anak kesayangannya. Mira menghentak kaki dan segera masuk ke dalam biliknya tanda protes kerana ibunya gagal menyediakan makanan buatnya apabila beliau balik dari sekolah. Ibu hanya diam melihat gelagat anaknya namun beliau tahu Mira hanya ingin meluahkan perasaan marahnya kerana kesalahannya sendiri.
Sedang Ibu memasak, pulang anaknya yang sulung yang baru sahaja pulang dari tempat kerja. Melihat ibunya yang masih belum lega demamnya memasak, Along lantas menyuruh ibunya berehat dan dia mengambil alih tugas ibunya memasak. Along tahu bahawa ibunya sudah penat untuk melakukan semua itu tambahan dengan demam yang dialaminya belum lagi sembuh.
Along seorang anak yang amat berhati mulia dan amat memahami kondisi ibunya yang sudah tua dan sudah tidak berdaya itu lagi. Sedang asyik Along memasak, Mira datang dan bertanya di mana ibu? Lantas along menjawab bahawa ibu sedang tidur di sofa lusuh di ruang tamu, mungkin ibu penat agaknya.
Mira dengan pantas menuju ke ruang tamu dan mengejutkan ibunya untuk meminta wang kerana dia mahu keluar bersuka-ria bersama kawan-kawannya. Along begitu marah melihatkan gelagat adiknya yang mengejutkan ibu yang sedang lena tidur semata-mata untuk meminta wang. Along memarahi Mira. Namun Ibu dengan segera meleraikan pergaduhan mereka.
"Along, janganlah kamu memarahi adik kamu, dia hanya mahu meminta wang untuk membeli buku rujukan bersama rakan-rakannya, lagipun SPM pun sudah dekat. Ibu mahu dia berjaya kelak," lantas ibu masuk ke dalam biliknya dan meyeluk saku baju kerjanya. Mira hanya menurut ibunya dari belakang. Ibu memberi RM30.00 kepada Mira namun itu belum cukup bagi Mira, dia merebut wang yang selebihnya ada di tangan ibunya itu.
"Jangan Mira, itu wang untuk....."
Belum habis ibunya berkata-kata Mira terus keluar dari rumah. Suara Mira dari luar jelas didengari oleh ibunya.
"Ibu, duit kita boleh cari lagi. Jangan risau," dia tidak tahu ibunya bertungkus-lumus mencari wang untuk mereka sekeluarga.
Namun, ibunya tidak menaruh sebarang perasaan marah kepada anaknya itu kerana anak merupakann kurniaan Allah yang tidak boleh dijual beli baginya.
Along tidak melihat apa yang berlaku kerana asyik memasak di dapur.
Hari ini tidak seperti hari yang sebelumnya, jam sudah menunjukkan jam 11.00 malam. Mira masih belum pulang ke rumahnya. Ibu dan Along sudah mula risau. Tidak lama kemudian, telefon berbunyi dan Along segera mengangkatnya. Alangkah terkejutnya dia apabila mendengar satu-satu adiknya telah mengalami kemalangan yang mengakibatkan penglihatannya menjadi buta.
Ibu yang mendengar berita itu amat terkejut lalu mencari orang untuk menghantar mereka berdua ke hospital segera. Setibanya di hospital, Ibu melihat teriakan Mira yang amat sedih akibat hilang keupayaan untuk melihat.
"Sudah tidak guna lagi aku hidup di dunia ini, aku sudah tidak mampu melihat lagi."
Ibu sudah tidak sanggup untuk melihat cahaya matanya yang kedua itu hidup dalam kegelapan selama-lamanya. Dia harus mencari cara untuk mengembalikan penglihatan anaknya semula.
Seketika kembali seorang doktor datang ke arah Mira dan berkata bahawa. "Mira,awak jangan risau, kami telah menemui seorang penderma yang sanggup mendermakan matanya kepada awak."
Mira merasakan dirinya orang yang paling bertuah setelah mendengar berita yang gembira itu.
Hari pembedahan sudahpun tiba, pembedahan semuanya berlaku dengan lancar. Pembedahan itu mengambil masa selama hampir 4 jam. Hasilnya juga mengembirakan. Hari ini hari yang penting buat Mira kerana balutan pada matanya akan dibuka dan menandakan samada beliau berjaya melihat kembali ataupun tidak. Hasilnya amat memberangsangkan. Mira dapat melihat semula.
Orang yang pertama dilihatnya ialah Along. Dia tertanya-tanya dimanakah Ibu. Dia mahu meminta maaf kepada Ibu atas semua kesalahan yang telah beliau lakukan. Mira sudah insaf.
"Along, di mana Ibu? Mira hendak mencium tangan ibu dan meminta maaf kepadanya. Tangisan air mata jelas kelihatan mengalir di pipi Along. "Along, mengapa menangis? Ibu mana?" pertanyaan itu ditanyakan kepada Along berkali-kali tetapi hanya linangan airmata dapat dilihat mengalir di mata Along. Berbagai persoalan bermain di minda Mira saat itu.
"Ibu sudah meninggalkan kita adik!!! Ibu mengalami komplikasi semasa pembedahan mendermakan matanya kepadamu adik. Dia mengambil risiko untuk menjalani pembedahan walaupun usianya sudah lanjut adik. Ibu telah melakukan satu pengorbanan yang sangat besar kepada kamu Mira!!!" Mira berlari ke arah bilik mayat lalu diekori Along.
Mira melihat Ibunya terbujur kaku dan tidak benyawa lagi sekarang. "Ibu, bangun ibu! Mira datang ni, nak minta maaf kat ibu! Kenapa ibu tak membiarkan Mira buta saja Ibu?? Mira tak sempat minta maaf kat Ibu, Mira menyesal Ibu!"
 Along cuba menenangkan Mira dan memberikan sepucuk surat kepada Mira.
"Mira,
Di saat kau membaca surat ini,
Mungkin Ibu telah pergi meninggalkan dunia ini,
Andai kata Ibu pergi sebelum sempat berjumpa dengan Mira,
Ibu pasti Mira pasti sudah boleh melihat...
Ibu mahu kamu dapat melihat dunia ini dan kebesaran Ilahi...
Ibu sudah mengampunkan segala dosa-dosa Mira...
Terimalah sepasang mata ini daripada ibu..."

Maafkan Ibu, Sayang..

Kunci kereta kuletakkan di meja bersama segala dokumen kerja. Brooch tudung dilonggarkan. Letih yang teramat. Pandangan ku terarah kepada satu-satunya putera hati di sofa. Melihat telatahnya sahaja sudah mampu menghilangkan lelah.
"Ayie.. bangun sayang.. dah solat ke belum ni?", kepala Ayie ku usap lembut sambil mengemaskan comforter yang membaluti tubuhnya. Jam di dinding menunjukkan hampir pukul enam setengah pagi. Tubuh kecil yang meringkuk di atas sofa ruang tamu itu mengeliat kecil.
"Sayang.. kenapa tidur kat sini? Sejuk...", tubuh Ayie cuba ku rangkul. Dia tersedar sambil berpisat menahan kantuk. Mencuka wajahnya.
"Ibu memang tak sayang Ayie! Ibu balik lambat!" Pantas anak kecil itu berlari menaiki anak tangga.
"Ayie...," panggilanku mati. Ayie hilang ke tingkat atas.
'Maafkan ibu...'
Mak Mah yang terdengar suara Ayie segera membasuh tangannya ala kadar. Adunan cucur bilis untuk sarapan pagi itu ditinggalkan seketika.
"Puan dah balik.. Nak saya buatkan air?" tanya Mak Mah setiba di ruang tamu.
"Kan saya cakap, panggil je Hannah..," aku mengukir senyum.
"Tak perlu. Terima kasih Mak Mah, nanti saya buat sendiri.. emm.. Ayie sihat Mak Mah? Tadi dia tidur di sofa.."
Mak Mah mengangguk kecil. "Semalam dia tak mahu makan, nak tunggu Hannah balik katanya"
"Kasihan dia, Mak Mah.. Mak Mah tak bagitahu saya balik lambat?"
Aku melangkah ke dapur, membuka tudung saji. Lauk hanya kelihatan sedikit terusik. Mungkin Mak Mah dan abahnya sahaja yang makan. Ayam goreng kegemaran Ayie masih tersedia dalam pinggan kaca berbunga kecil, tidak seperti selalunya. Pantang ada ayam goreng pasti Ayie meratah habis.
"Sudah, tetapi dia tak dengar. Abah dia pujuk pun dia tak mahu sampai kena teman dia tidur di ruang tamu. Menangis-nangis tak mahu ke bilik", sambung Mak Mah.
Pasti malam tadi Ayie tidur dalam kecewa, sedih dan marah.
Paip sinki kupulas, membasuh tangan.
"Mak Mah berehatlah ya.. biar saya siapkan", adunan cucur bilis kucapai bersama tepung. Tak lupa rencah 'basmalah' diadun bersama. Sikit sahaja sebelum siap untuk digoreng.
"Hannahlah berehat, baru balik. Mari sini Mak Mah siapkan. Kasihan badan tu..", pujuk Mak Mah.
"Mak Mah memang macam ummi saya..", aku tergelak kecil.
Rindu pada ummi tak tertahan lagi. Barulah aku tahu bukannya mudah bekerja dalam masa yang sama perlu menguruskan rumahtangga pula. Ummi memang contoh insan terbaik dalam hidupku. Meski sibuk di pejabat, masanya dengan anak-anak tidak di abai. Malah ummi pula yang 'berebut' dengan pembantu rumah untuk memasak dan menguruskan hal rumahtangga bila dia di rumah.
Berbakti 24 jam sehari.. hebatnya 'ketahanan' seorang wanita muslimah...
'Tak sempurna seorang wanita itu selagi tak mampu menguruskan rumahtangganya dengan baik. Tempat seorang isteri adalah di sisi suami dan tempat seorang ibu adalah di sisi anak-anaknya. Nama, pangkat atau sehebat mana pun kita di tempat kerja langsung tidak bermakna kalau keluarga kita sendiri kucar-kacir tak bahagia'
Pesanan ummi kusemat utuh.
"Bila lagi Ayie nak merasa air tangan saya, Mak Mah.. sikit lagi je nak siap ni..", ujarku bersungguh.
Biarlah sekadar masa yang aku punya di rumah aku peruntukkan sebaiknya untuk mereka. Mak Mah masih di situ mengambil tugas menjerang air. Air panas dicurah ke dalam teko. Minuman pagi kegemaran keluarga dibancuh.
Deruman enjin kereta memecah hening pagi. Serentak aku dan Mak Mah menyambut salam dari muka pintu.
Huluran tangan insan berkopiah dan baju melayu itu kukucup.
"Baru balik?" soalnya sambil mengiringiku ke dapur. Mungkin kerana baju kurung yang kupakai sejak pagi semalam tidak bertukar.
Aku mengangguk.
Memang menjadi kebiasaannya untuk membantu aku dan Mak Mah di dapur usai pulang berjemaah di surau An-Nuur. "Kalau tak tolong buat kerja, tolong tengok pun jadilah," pernah dia berseloroh. Seronok Mak Mah ketawa. Sekali-sekala ada juga dia menjadi chief bersilat di dapur. Boleh tahan hebat.
"Ayie macam mana?" ingatanku tak luput dari memikirkan Ayie. Cucur bilis ku jemput kecil-kecil sebelum disua ke kuali panas.
Mak Mah sudah berlalu ke ruang makan. Menyediakan meja sebelum sarapan pagi dihidang.
"Biasalah kanak-kanak..," tenang suaranya.
Barulah aku tahu mengapa beriya-iya Ayie mahu aku pulang awal semalam. Rupanya, dia mendapat tempat pertama di tadikanya untuk peperiksaan bulan lalu dan mahu berkongsi berita gembira sewaktu makan malam kami sekeluarga.
"Bila surprisenya tak menjadi, tu yang mengamuk sampai ajak naik tidur kat bilik pun tak mahu."
Sesalku menebal. Harapan seorang anak kecil punah.
"Kasihan Ayie... terkadang rasa nak berhenti kerja pun ada...," ujarku lambat-lambat.
Cucur bilis yang baru ku tos dicapainya.
"Bismillahillazi laa yadhurru ma'asmihi syai'un fil ardh wa la fis samaa'ie wahuwas sami'ul 'aleem," sengaja dibaca kuat, mengusik. Kalau-kalau ada mudharat pada cucur tu, tiadalah terkesan padanya nanti.
"Emm.. sedap! Tukar profesion jadi tukang masak pun boleh ni," ujarnya sambil menyengih.
Aku mengeluh perlahan. Sepatutnya aku sebagai ibu yang lebih memberi tumpuan buat Ayie. Bukan Mak Mah atau guru-gurunya.
"Ayie perlukan perhatian seorang ibu...," rendah suaraku.
Sepi.
Dia mengalih tumpu ke arahku. Serius.
"Abang suka keluarga yang boleh berbakti buat ummah seluruhnya, bukan hanya keluarga kecil kita semata-mata. Pasal Ayie, abang akan cuba fahamkan dia, InsyaAllah. Bersabarlah untuk beberapa bulan ja lagi. Lepas ni takdalah hectic sangat dan akan ada lebih masa untuk Ayie. Yang penting, jangan pernah lupa memohon pertolongan dari Dia supaya segalanya berjalan lancar dan terasa mudah.. kita mungkin tak mampu untuk beribadah setaraf sang 'abid. Jadi, bekerjalah seikhlas mungkin demi menunaikan fardhu kifayah, moga-moga Allah mengira ini juga sebagai ibadah di sisi-Nya. Pasti ada hikmah kenapa Allah tetapkan jalan ini buat kita. Anggaplah ini pengorbanan kecil dalam perjuangan Islam," hikmah bicaranya.
Bukan sedikit berita yang sampai di telinga berkenaan keruntuhan rumahtangga sahabat se-profession dengan ku. Segalanya gara-gara jadual kerja yang sibuk dan tak menentu. Makan pakai keluarga langsung hilang cakna. Syukur yang tak terhingga kupanjatkan buat Dia kerana meminjamkan aku pendamping yang sangat memahami. Baik kerjaya mahu diriku yang sangat banyak kelemahan dari sempurna. Dia yang terus-terusan meniup semangat memberi motivasi kala aku hampir berhenti dari jalan ini.
'Moga Allah mengira aku sebagai sayap kiri perjuangan Islam..'

***********************
"Red zone, Doctor! 1st bed," cemas suara jururawat.
Aku tersentak.
Suasana sekitar ku kembali bingar.
Bunyi mesin ventilator bersilih dengan suara orang mengerang kesakitan.
"Robbi yassir wala tu'assir. Robbi tammim bil khair," doa ku penuh mengharap sebelum melangkah ke medan juang.
'Maafkan ibu, Ayie. Redhakan ibu berjuang untukmu, sayang juga buat ummah seluruhnya..'

Lambaian Pintu Raudhah

Seorang jejaka muda, tampan, sasa dan bergaya. Kehadirannya di lapangan terbang yang paling berprestij di Malaysia menarik perhatian seluruh mata yang memandang. Setiap derap langkah kakinya menjadi perhatian setiap telinga yang mendengar.
"Sungguh hebat jejaka itu. Beruntung sekali wanita yang dapat berjalan bersama di sisinya. Andai saja dia menjadi milikku....," Itulah kata-kata yang kini membisik di hati setiap wanita yang terpandang akan susuk yang gagah lagi bergaya itu.
Namun di sebalik segala kemewahan yang ditonjolkan oleh jejaka tersebut, tersimpan sejuta rahsia yang tidak mungkin terungkai oleh siapapun. Begitu hebat sekali "topeng" yang dia kenakan."Topeng" yang telah membutakan seluruh mata yang memandang.
Azam yang dahulunya hanya seorang pemuda kampung. Pemuda kampung yang bekerja keras membanting tulang di bawah terik mentari. Pemuda kampung yang sering memecahkan keheningan subuh dengan laungan azan yang sungguh merdu. Laungan azan yang mengusik setiap jiwa yang merindukan kasih Allah. Laungan azan yang menyedarkan setiap manusia akan kewajipannya terhadap Yang Maha Esa.
Betapa dirinya dahulu menjadi sanjungan kepada pemuda-pemuda yang lain di atas segala kelebihan dan ilmu yang ada padanya. Tidak kurang juga para ustaz yang sering menjadikan Azam sebagai tempat rujukan. Azam adalah seorang pemuda soleh yang berilmu dan berwibawa.
Pemergian Azam memberikan kesan yang besar kepada Kampung Seri Pinang serta seluruh jiwa yang bernafas di dalamnya. Tidak ada lagi suara merdu yang memecahkan keheningan pagi dan tidak ada lagi bicara agama buat santapan rohani. Pemergian Azam menjadikan kampung yang dahulunya berseri kini sunyi sepi.
Kini, setelah hampir lima tahun menuntut di luar negara, Azam kembali sebagai seorang insan yang serba baru. Kepulangannya ke kampung halaman sudah lama ditunggu-tunggu. Betapa penduduk di kampung tersebut rindu akan kepulangan Azam. Rindu akan suaranya, rindu akan bicaranya, rindu akan wajahnya yang sentiasa tenang dan bercahaya.
Azam tersenyum puas. Sudah lima tahun dia menahan gelodak jiwa yang ingin sekali bertemu dengan keluarga tercinta. Kampungnya masih seperti dahulu. Tidak berubah walau sedikitpun. Cuma kini, ada sedikit kesunyian terasa. Mungkin kerana anak-anak muda yang lain sudah berpindah ke kota besar untuk mencari kerja dan meneruskan pelajaran. Azam merupakan salah seorang dari mereka.
Rumah besar yang beratap biru tersebut ditenungnya lama-lama. Warnanya sudah semakin pudar, sunyi dan langsung tidak ada seri lagi pada pandangannya.
"Mak, ayah! Azam dah sampai!" Nyaring sekali suara tersebut. Mak Kiah yang baru saja selesai menunaikan solat Zuhur cepat-cepat melipat sejadahnya.
"Azam! Azam anak mak!" Bercucuran air mata Mak Kiah apabila terlihat akan susuk yang cukup dikenalinya itu. Air mata rindu itu tidak berhenti-henti mengalir lewat matanya yang sudah agak cengkung dimamah usia. Susuk anak muda itu didakapnya erat. Tidak akan dia lepaskan lagi. Rindunya seorang ibu terhadap anaknya, Azam sehingga hampir sebulan dia terlantar sakit di hospital.
Azam segera melepaskan dirinya daripada dakapan ibunya. Dia kelemasan. sepertinya ada sedikit ketidakselesaan di wajah tampan itu. Namun, dia cuba untuk menyembunyikannya bimbang disedari oleh ibunya.
"Ayah mana, mak? Mak sihat? Dah lama Azam tak tengok mak. Semakin cantik pulak mak Azam ni," Azam cuba untuk bergurau. Mak Kiah tersenyum senang. Azam masih tidak berubah di matanya. Masih seperti Azam yang dahulu. Masih pandai bergurau dan mengambil hatinya. Betapa dia kasihkan Azam. Anak kecil yang ditinggalkan di depan rumahnya. Anak kecil yang diasuhnya dengan penuh cinta dan kasih sayang. Anak kecil yang dia sendiri tidak tahu siapa ibu serta bapa kandungnya.
Namun, semua itu tidak pernah Mak Kiah jadikan sebagai alasan untuk tidak memberikan Azam kasih sayang serta seluruh perhatiannya. Naluri keibuannya yang begitu kuat menjadikan dia mendidik azam dan membesarkannya sehingga Azam menjadi seorang manusia yang berjaya pada hari ini. Begitu dia kasihkan Azam meskipun keputusannya untuk menjadikan Azam sebagai anak angkat pada awalnya mendapat tentangan hebat daripada suami tercinta suatu ketika dahulu.
"Ayah mana, mak?" Sesekali pertanyaan itu diajukan kepada ibunya. Mak Kiah tersenyum lagi.
"Ayah di rumah Ustaz Kassim. Ada hal di sana. Sebentar lagi dia baliklah. Ayah pun dah tak sabar mahu berjumpa dengan Azam. Semalaman dia tak tidur sebab menunggu kepulangan kau. Dia dah berubah, nak. Dia tak macam dulu lagi. Dia dah boleh terima kau," Panjang sekali jawapan yang diberikan oleh Mak Kiah. Sesekali dia terbatuk kecil.
"Baguslah kalau macam tu," Pendek saja jawapan Azam. Sebenarnya dia agak kepenatan. Berjam-jam berada di dalam kapal terbang menjadikan tulang belakangnya sedikit kaku. Dia segera menuju ke biliknya. Mak Kiah hanya mampu tersenyum. Azam memang selalu begitu. Kadangkala dia periang. Ada pula waktu-waktunya dia boleh menjadi seperti tadi. Acuh tidak acuh saja.
Namun, Mak Kiah tidak pernah sedikitpun berkecil hati dengan sikap Azam yang sentiasa berubah-ubah dan kadangkala sukar difahami. Baginya Azam anak yang soleh dan taat. Apa jua kesalahan Azam sentiasa mendapat keampunannya. Mak Kiah tidak sanggup melihat Azam menderita hanya kerana dosa-dosanya terhadap seorang ibu sepertinya. Sungguh kasihnya dia pada Azam sehingga dia sanggup berkorban nyawa untuknya.
Malam itu, Ustaz Akhil bersiap sedia untuk ke masjid seperti biasa. Dia menjadi agak terkilan kerana ajakannya ke masjid tadi petang ditolak bulat-bulat oleh Azam. Namun begitu, dia tidak akan mudah menyerahkan emosinya kepada Syaitan yang sentiasa bersedia untuk menjalankan tugasnya. Dia cuba untuk menjadi seorang ayah yang memahami. "Mungkin Azam masih kepenatan," Begitulah fikirnya.
Perut yang sudah berkeroncong memaksa Azam keluar dari biliknya. Mak Kiah sudah lama duduk di dapur menunggu Azam.
"Makanlah, nak. Ayah kau baru je ke masjid tadi. Duduk sini, biar mak yang teman kau malam ni," Lembut sekali bicara Mak Kiah. Sepertimana dia sering menemani Azam makan di waktu-waktu kecilnya dahulu, seperti itu jugalah dia akan terus menemaninya sehingga ke hari ini.
Azam duduk di sisi ibunya. Perlahan-lahan dia mengunyah lauk yang masih bersisa di dalam mulutnya. Mak Kiah hanya mendiamkan diri. Dia masih berkira-kira sebenarnya, bagaimana harus dia mengkhabarkan berita itu nanti. Bagaimana pula penerimaan Azam nanti?
"Azam, mak ada sesuatu nak bagitahu kau ni," Perlahan-lahan Mak Kiah mengatur kata-katanya. Azam masih menumpukan perhatian terhadap santapannya malam itu. Dia merenung Mak Kiah sejenak.
"Pagi tadi ayah kau pergi jumpa Ustaz Kassim. Dia... Dia pergi pinangkan Laila buat kau. Kau..."
Belum pun sempat Mak Kiah menyambung bicaranya, Azam sudah tersedak di sisinya. Mak Kiah sedikit terkejut. Reaksi seperti itu memang sudah dia jangkakan.
"Mak! Kenapa tak bagitahu Azam dulu? Macam mana Mak ni? Janganlah buat Azam macam ni. Tak boleh! Azam tak setuju!"
Mak Kiah sedikit terkejut. Memang selama ini Azam pernah memberontak, tetapi tidak pernah sekalipun Azam meninggikan suara terhadap dirinya. Mak Kiah sedikit tersentak. Tersentak dengan perubahan Azam yang agak mendadak. Sebenarnya, sejak Azam sampai petang tadi lagi Mak Kiah sudah musykil. Musykil terhadap sikapnya yang aneh dan agak pemarah. Sikap Azam terhadap ayahnya tadi petang juga sudah agak kasar.
"Kenapa, nak? Kau tak suka ke? Laila tu baik orangnya. Sopan pulak tu. Tak macam kebanyakan budak perempuan di dalam kampung ni. Beruntung kau kalau dia jadi isteri kau, nak," Mak Kiah masih cuba untuk meyakinkan Azam untuk menerima keputusan yang telah dibuat oleh suaminya seminggu sebelum kepulangan Azam.
"Azam tak nak. Mungkin Azam tak pernah bagitahu Mak lagi sebelum ni. Mak, Azam dah kahwin. Azam kahwin di sana. Dengan seorang perempuan yang menuntut satu kolej dengan Azam. Dah dua tahun kami berkahwin."
Mak Kiah terkejut besar. Matanya yang tadinya kuyu kini besar dan bulat. Azam ditatapnya lama-lama. Di sebalik kesedihan yang sedang berkubu di hatinya kini, ada sedikit kegembiraan yang sedikit sebanyak menenggelamkan kesedihan itu. Kegembiraan untuk mengetahui bahawa ada menantu yang akan Azam bawa ke rumahnya nanti. Mak Kiah memaniskan mukanya. Dia tidak mahu kelihatan terkejut di depan Azam. Mak Kiah menguatkan dirinya untuk terus bersuara.
"Siapa menantu Mak ni? Macam mana orangnya, nak? Paling penting, sudahkah kau Islamkan dia sebelum kau mengahwininya?
Soalan terakhir itu sebenarnya tidak perlu untuk ditanyakan lagi kerana Mak Kiah pasti bahawa wanita tersebut sudahpun diIslamkan sebelum Azam mengahwininya lagi.
"Tak. Maksud Azam, dia bukan Islam," Selamba Azam menjawab pertanyaan ibunya.
Mak Kiah sedikit kehairanan. Bagaimana bisa Azam mengahwini seorang wanita bukan Islam? Dia menjadi bertambah musykil. Namun, Mak Kiah tidak sewenang-wenangnya menyerang Azam dengan seribu pertanyaan yang mungkin akan merunsingkan anak itu. Betapa besarnya kasih Mak Kiah terhadap Azam. Mak Kiah masih memberi ruang kepada Azam untuk sebarang penjelasan.
"Sebenarnya... Azam 'convert', Mak."
Sebaik sahaja Azam menghabiskan kata-katanya, satu tamparan hebat singgah di pipi kanannya. Azam terjelepok di atas lantai. Tanpa disedari, Ustaz Akhil sudah lama mencuri dengar akan perbualan kedua-duanya. Sudah setengah jam Ustaz Akhil berdiri di sisi pintu rumah sambil menahan kemarahannya. Begitu dia hampir hilang sabar saat Azam mengatakan bahawa dia sudah pun berkahwin di sana.
Ustaz Akhil langsung tidak menyangka bahawa anak yang selama ini taat dan patuh terhadapnya akan membelakangkan dirinya sebagai seorang ayah. Paling memedihkan hatinya adalah untuk menerima hakikat bahawa anak yang selama ini dia didik dengan segala ilmu agama dan ukhrawi yang ada pada dirinya kini sudah berani membelakangkan Allah. Penciptanya sendiri. Anak itu kini sudah selayaknya dia bunuh sahaja.
Ustaz Akhil sudah tidak boleh bersabar lagi, lengan Azam ditariknya keras. Diseretnya Azam ke luar pintu lalu ditolaknya ke luar rumah. Mak Kiah sudah tidak berdaya lagi. Sungguh dia ingin sekali membantu anak kesayangannya itu. Namun, untuk berdiri saja dia sudah tidak mampu. Hakikat itu terlalu berat untuk dia terima. Dari tadi, dia hanya mampu berdoa agar kesilapan terbesar Azam itu diampunkan, agar dibukakan hati Azam untuk kembali ke pangkal jalan.
"Kau keluar dari rumah aku ni! Mulai dari hari ni, jangan kau berani jejakkan kaki ke tanah ni lagi. Jangan kau berani lagi datang ke kampung ni! Kau pergi sekarang! Sekali lagi aku nampak kau datang ke kampung ni, akan aku pancung kepala kau dengan parang besar aku kat belakang rumah tu! Anak tak mengenang budi! Kalau tak kerana takdir Allah kau dibuang kat depan rumah aku ni, dah lama kau mati agaknya. Bila dah besar macam ni, kau murtad pulak! Ingat pesan aku ni! Selagi kau tak bertaubat, selagi kau tak kembali pada agama kau, selagi kau tak mintak keampunan Pencipta kau, jangan kau mengaku pernah jadi anak aku! Sekarang kau pergi! Kau pergi!!!"
Bergema kampung itu dengan suara Ustaz Akhil yang gegak gempita kuatnya. Hampir terangkat atap rumahnya yang sudah rapuh itu. Kini, satu kampung sudah tahu bahawa pemuda yang dahulunya sering menjadi penyeri kepada surau-surau serta masjid seluruh kampung sudah tidak lagi boleh diharapkan. Dia sudah MURTAD. Dosa besar yang sukar sekali mendapat keampunan Allah andainya dia tidak bertaubat tepat pada waktunya. Bertaubat dengan taubat nasuha. Taubat yang sebenar-benarnya.
Menyirap darah muda Azam apabila menerima tamparan daripada bapanya tadi. Kata-kata yang diucapkan oleh Ustaz Akhil sebentar tadi langsung tidak masuk di kepalanya. Dia terlalu marah. Marah kerana ayahnya sudah berani menamparnya. Selama ini, tidak ada satu insan pun yang berani menyentuhnya, apalagi untuk menamparnya. Dia dibesarkan dengan penuh cinta dan kasih sayang. Kasih sayang daripada seorang ibu mulia seperti Mak Kiah. Namun, ternyata kasih sayang itu langsung tidak dihargainya. Dia kini sudah menjadi anak yang biadab serta kurang ajar.
Betapa Azam kini sudah jauh berubah. Dia kini sudah berani berfikiran seperti itu. Tinggal jauh daripada pengawasan kedua-duanya orang tuanya menjadikan Azam seorang pemuda yang liar. Pemikirannya kini sudah dijajah oleh bahana yang datang dari dunia barat. Azam sudah lama mati. Kini yang tinggal hanyalah seorang jejaka yang sudah mati hatinya. Seorang jejaka yang sudah lupa siapa dirinya sehingga dia lupa akan Penciptanya.
Azam sudah tidak peduli lagi. Dia segera lari meninggalkan rumah usang tersebut. Langkahnya dilajukan kerana dirinya kini sudah menjadi tumpuan penduduk kampung. Dia malu. Bukan malu kerana dosanya kepada Allah, tetapi malu kerana maruahnya tercalar dek kerana ditampar oleh ayahnya sendiri. Betapa tingginya ego anak muda itu.
Mak Kiah yang sedari tadi kaku di sisi suaminya terus berlari ke luar rumah. Dilihatnya Azam semakin jauh meninggalkannya. Dia cuba berlari sepantas mungkin. Setelah lima tahun Azam pergi, tidak mungkin dia boleh kehilangan Azam sekali lagi.
"Azam! Azam anak mak! Jangan pergi, nak. Jangan tinggalkan Mak. Mak sayangkan kau. Kau tetap anak mak!" Laungan tersebut kedengaran sayup-sayup dari kejauhan. Azam yang sedang dikuasai kemarahan langsung tidak mempedulikan ibunya lagi. Ibu yang dahulu bersusah payah membesarkannya. Ibu yang dahulu seringkali mempertahankannya sewaktu dia pernah dihina kerana statusnya sebagai anak kutip. Ibu yang kini sudah tidak wujud lagi di hatinya.
Azam segera masuk ke dalam teksi yang berhenti betul-betul di hadapannya. Mak Kiah cuba menahan anaknya. Ditariknya tangan Azam dengan kuat sekali. Namun, dengan penuh rasa marah, Azam menendang ibunya. Tendangan yang sungguh kuat. Cukup kuat sehingga jasad tua itu tergolek ke tengah jalan lalu...
Zappppppp!!!! Jasad tua itu terpelanting beberapa meter jauhnya. Azam tergamam. Perlahan-lahan dia keluar dari teksi. Perlahan-lahan dia menuju ke arah jasad yang sudah berlumuran darah itu. Jasad itu masih bernyawa lagi. Masih bergetar-getar.
Azam mula tersedar. Tersedar dari amuknya sebentar tadi. Dia sudah dapat melihat wajah ibunya kini. Ibu yang sebentar tadi dia anggap sudah mati akibat terlalu marah dan terlalu ikutkan hati yang sudah dikuasai Syaitan. Jasad lemah itu dirangkulnya perlahan-lahan.
"Mak! bangun, mak! Jangan tinggalkan Azam! Azam dah tiada sesiapa lagi selain mak. Ampunkan Azam, mak. Ampunkan Azam...," Azam merintih tidak berhenti-henti. Digoncang-goncangnya jasad lemah itu. Mak Kiah masih cuba untuk mengumpul tenaganya yang masih bersisa. Ingin sekali dia meninggalkan sedikit pesanan buat anak itu. Pesanan buat yang terakhir kalinya. Dengan segala kudrat yang masih ada, Mak Kiah cuba bersuara.
"Azam... Tolonglah dengar dan ingat pesan mak yang terakhir ni, nak. Bertaubatlah Azam. Kembali pada Allah. Kembali pada agamamu. Mak tak mahu kau tersiksa kelak. Tolonglah bertaubat. Sebelum mak pergi... Janji dengan mak, nak... Jangan kau risau. Dosa kau, dari kecik sampailah sekarang, mak ampunkan semuanya... Syurga mak masih buat kau, wahai anakku... Sekarang ni, kau minta ampun pada Allah... Minta ampun pada Dia..."
"Mak... Masihkah ada Syurga untuk Azam? Masihkah ada ruang di sisi Allah untuk orang yang berdosa besar seperti Azam?" Azam terus merintih sedih. Sungguh dia kini menyesal di atas segala perbuatannya. Allah telah menunjukkan balasan kepada dosanya dengan mengambil nyawa insan yang paling dia sayang. Andai saja waktu bisa diundurkan semula. Pasti dia tidak akan membiarkan dirinya jatuh di dalam jurang itu. Jurang yang dipenuhi Syaitan laknatullah.
"Kau bertaubatlah, nak... Jangan kau ulang lagi perbuatan kau ni... Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Sebesar apapun dosa kau, andai kau benar-benar bertaubat, percayalah nak... Masih ada Syurga buat kau..."
Azam mendengar syahadah terakhir yang diucapkan oleh ibunya. Dia sudah tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan. Jasad ibunya masih lagi erat di dalam pelukannya. Pandangannya berpinar. Tatkala itu juga, dia rebah di sisi jasad yang sudah tidak bernyawa itu...

Solatku

Aku adalah seorang anak kepada sepasang suami isteri yang bergelar ustaz dan ustazah. Diriku diberikan pendidikan agama secara terus menerus. Sejak kecil, aku diajar untuk mengenali Islam. Tadikaku adalah sekolah agama, di peringkat sekolah kebangsaan, aku dimasukkan ke sekolah agama. Sekolah menengah ku juga disisipkan pelajaran tambahan Bahasa Arab dan Kelas Kemahiran Al-Quran. Pokoknya, aku memang bertuah kerana diberikan nafas Islam dalam hidupku.

Aku menginjak awal remaja, seterusnya cukup umur untuk diwajibkan menunaikan solat. Namun, hatiku berasa berat untuk menunaikan solat. Aku hanya mengangguk apabila ibu bapaku bertanya apakah aku sudah menunaikan solat. Aku mengunci diriku di dalam kamar buat beberapa ketika dan keluar hanya untuk memberitahu yang kononnya aku sudah solat. Pernah juga ibu bapaku ragu dengan kenyataanku, namun aku berjaya meyakinkan mereka.
Beberapa program motivasi telah aku sertai, namun semuanya hanya berjaya menanamkan rasa untuk solat dalam diriku untuk masa yang sangat singkat. Selepas itu, aku teruskan tabiat lamaku. Aku lebih rela menipu daripada menunaikan solat. Betapa kuatnya pengaruh syaitan ke atas diriku.
Hari berganti hari. Hatiku sering dilanda resah tanpa sebab. Kadang kala, aku rasa ingin menangis, namun tiada alasan mengapa. Diriku terasa sedih, pilu, gelisah dan kosong. Perasaan itu semakin kuat kesannya apabila aku bersendirian. Namun, tak terlintas dalam hatiku apa sebabnya.
Satu petang maghrib, aku melihat adikku melepak dan bersembang di birai katil. Aku berasa agak pelik kerana sepatutnya sekarang mereka sudah solat, lalu aku mengarah mereka untuk mengambil wudhu' dan pergi untuk menunaikan solat. Dengan langkah longlai, mereka menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk dan seterusnya menunaikan solat.
Mungkin sudah ketentuan Allah, sedang aku melihat adik-adikku khusyuk solat, terdetik di benakku, " Kenapa aku menyuruh adik-adikku bersembahyang sedangkan diriku tidak sembahyang?".
Tiba-tiba hatiku luruh. Aku diam tanpa kata. Perasaan sebak memenuhi rongga dadaku. Ya, benar kata benakku. Aku menyuruh adikku menunaikan solat walaupun mereka belum akil baligh, tapi aku yang sepatutnya menyembah Allah yang Maha Esa tidak pula menunaikan kewajipanku. Tanpa ku sedari, air mata luruh di pipi.
Pantas kakiku menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu', dengan rasa keinsafan yang terbit dalam sanubari, aku mengangkat takbir untuk pertama kalinya dengan hati yang penuh ketenangan. Setiap rukukku, sujudku terasa begitu bermakna. Bacaan Al-Fatihahku terasa begitu sayu. Betapa sebenarnya rohaniku rindu pada Allah. Betapa jiwaku sebenarnya meronta ingin menghadap Allah. Betapa sebenarnya aku mahu solat.
Tidak lama kemudian, tiba pula bulan Ramadhan. Aku bertekad untuk belajar memenuhi solat 5 waktu sepanjang bulan itu. Aku melawan nafsuku semata-mata untuk menunaikan solat. Hatiku menjadi lebih tenteram. Jiwaku tenang. Tiada lagi keresahan merundung jiwa. Kini aku tahu mengapa hati sering dibelenggu kesedihan. Aku rindukan Allah. Aku terlalu merinduiNya...
Kini, aku merasakan hari-hariku lebih bermakna dengan kehadiran rakan baik baruku, SOLAT. Aku berharap hidupku akan terus dipenuhi solat, tak kisahlah yang wajib atau yang sunat. Amin.